Nasrudin nasihat Zahid contohi Khairy yang dianggap panjang akal

Harakahdaily, 21 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hasan menasihatkan Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mencontohi sikap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang lebih matang dalam mengeluarkan kenyataan.

Katanya, kenyataan Zahid yang menyarankan agar mereka yang enggan menerima sistem pilihanraya Malaysia supaya meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari, hanya menampakkan keangkuhan beliau yang baru sahaja dilantik sebagai menteri dalam negeri.

"Kenyataan Datuk Seri Dr Zahid bersifat dendam, emosi tidak bertempat dan kurang cerdik. Beliau menghukum dengan pandangan yang kabur tanpa melihat keseluruhan pandangan rakyat.

"Beliau sepatutnya belajar dari Sdr Khairy Jamaluddin yang walaupun mentah dari sudut pengalaman, tetapi akalnya panjang. Beliau tidak melatah dan bersikap dendam terhadap musuh politiknya sebaliknya bersikap ‘gentle’ dengan mendamaikan, bukan menjarakkan jurang politik.," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Khairy sejurus dilantik sebagai menteri belia dan sukan yang mengatakan bersedia mengadakan pertemuan dan menerima pandangan semua pemuda parti-parti politik untuk membangunkan belia dan sukan di Malaysia.

Menurut Nasrudin lagi, Zahid sepatutnya berterima kasih kepada rakyat kerana rakyat masih sayangkan negara dan bersikap patriotik terhadap negara.

Rakyat sanggup berhimpun kerana mereka hanya mahukan sistem pilihanraya yang adil, bersih dan telus. Mereka juga tidak mahu menerima sistem pilihan raya berlangsung dengan penipuan, penyelewengan dan kecurigaan.

"Beliau (Zahid) tidak tahu sekiranya rakyat sedar perjalanan pilihanraya berlangsung dengan adil dan bersih, mustahil rakyat akan berani dan sanggup turun ke Perhimpunan ‘Black 505’ dengan berhujan, tanpa upah dan dalam notis yang singkat.

"Jika rakyat menerima bahawa PRU ke 13 berlangsung tanpa penipuan, rakyat tidak akan turun ke jalan raya menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan," katanya.

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Bejoel - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger