5 tahun dihantui air najis

Tandas rumah Norhaizan akan dipenuhi air najis setiap kali hujan lebat.

KAJANG – Tidur dua keluarga yang menghuni perumahan teres dua tingkat di Bandar Teknologi Kajang di sini tidak lagi selena dulu apabila air najis didakwa akan melimpah masuk ke dalam rumah setiap kali hujan lebat.

Difahamkan, masalah itu berlanjutan sejak lima tahun lalu dan masih menghantui penghuni dua rumah yang tinggal berjiran di Jalan 3/7 itu.

Penghuni, Norhaizan Mahar, 33, berkata, pihak berkenaan pernah berjanji menyelesaikan masalah namun selepas berbulan-bulan menunggu dia dan jirannya mendakwa hampa mengenai perkara itu.

Katanya, limpahan air najis hingga paras buku lali itu melimpah keluar dari lubang saliran air mandi di tandas rumahnya.

Keadaan itu menyebabkan dapur, ruang tamu dan bilik tidur di tingkat bawah pernah dipenuhi air najis apabila limpahan berlaku pada awal pagi ketika dia sekeluarga sedang tidur.

Menurut Norhaizan, sebelum kawasan perumahan itu dipenuhi penghuni, masalah berkenaan tidak timbul, namun apabila perumahan semakin bertambah, kolam takungan kumbahan didakwa tidak dapat menampung kuantiti air dialirkan dari lebih 300 rumah di kawasan itu.

Lebih malang, katanya rumah dia dan jiran menjadi mangsa kerana terletak di kawasan rendah dan di penghujung sebelum air disalirkan sampai ke kolam takungan.

Jelasnya, masalah berpunca apabila lebihan air hujan memenuhi kolam takungan, akibatnya air najis melimpah kembali dan keluar melalui lubang di dalam bilik mandi.

“Jurutera pihak itu ada datang melihat masalah, mereka kata kolam takungan kecil selain rumah saya terletak di kawasan rendah menjadi puncanya.

“Mereka dakwa sudah buka tender untuk naik taraf kolam itu, dalam masa dua minggu akan selesai, dari tarikh itu sudah berbulan-bulan berlalu namun langsung tiada apa-apa perkembangan,” katanya.

Apabila masalah itu diajukan, dakwanya pihak berkenaan hanya menghantar pekerja menyedut air najis.

Sebagai langkah pencegahan, setiap kali berdepan masalah hujan dia terpaksa melipat semua karpet dan menaikkan semua peralatan perabot ke tempat tinggi untuk mengelak ia terendam dalam air najis.

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Bejoel - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger