Pulau Pinang Kenakan Caj Levi


GEORGETOWN – Mulai Mac tahun depan, kerajaan negeri cadang untuk mengenakan caj levi bagi setiap bilik penginapan hotel disewa pelanggan mengikut taraf bintang hotel berkenaan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata demikian dalam ucapan pembentangan Rang Undang-undang Pembekalan Tahun 2014, pada Sidang Dun kelmarin.

Menurutnya, tujuan kutipan levi itu akan digunakan sebagai dana untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan dan pelancongan Pulau Pinang.

“Satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada sektor hotel dan penginapan bersama dengan kerajaan negeri akan mendapat input untuk berbincang tentang jenis perbelanjaan ke atas kutipan levi ini. Levi ini dicadang dikenakan mulai bulan Mac 2014,” katanya.

Beliau berkata, cadang untuk mengenakan levi RM2 bagi setiap malam di bilik penginapan di hotel yang bertaraf satu hingga tiga bintang, manakala levi RM5 akan dikenakan bagi bilik penginapan di hotel yang bertaraf empat bintang dan ke atas.

“Demi memastikan produk pelancongan bertaraf antarabangsa dalam acara Tahun Melawat Pulau Pinang pada tahun 2015 hingga 2017, kerajaan negeri perlu membuat perancangan teratur dan pelaburan besar dalam infrastruktur asas untuk mewujudkan produk baru. Oleh itu, cadangan, kutipan levi akan dilaksanakan untuk menampung kos berkenaan,” katanya.

Pada tahun lalu, Pulau Pinang merekodkan lebih kurang lima juta bilik penginapan hotel disewa pelanggan tempatan dan luar negara. – Sinar Harian Online

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Bejoel - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger